Tempat Menarik di Medan Indonesia | Danau Toba
Tempat Menarik di Medan
Indonesia | Danau Toba. Tiada yang lebih mengujakan selain berpeluang
menyaksikan panorama indah Danau Toba di Medan hasil letusan gunung berapi.
Dikelilingi bukit-bukau menghijau dan perairan membiru terbentang luas bagaikan
berada di tengah lautan.
Dari Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Namu, menempuhi
perjalanan sejauh 200 kilometer (km). Perjalanan mengambil masa selama lima
jam, namun tidak bosan kerana panorama sekitar mengasyikkan mata memandang.
Bagi pencinta alam ia tentunya sangat berbaloi.
Sebelum itu, kami tiba di
Parapat, sebuah pekan kecil yang menjadi salah satu akses laluan feri ke Pulau
Samosir di Danau Toba. Perjalanan dari Medan ke Parapat sejauh 176km melalui dua
pekan utama, Tebing Tinggi dan Permatang Siantar.
Sudah menjadi kemestian
kepada pelancong luar singgah di Restoran Garuda bagi menikmati hidangan tengah
hari dan bertamu di kedai Paten yang terkenal di Medan.
Menariknya, kedai yang
menjual beraneka jenis kuih dan makanan ringan itu melabelkan nama produk
mereka dalam cara cukup unik seperti Tengteng, Tingting, Tangtang, Tongtong,
Tungtung, Pangpang dan Pingping.
Jangan terkejut, jika
sepanjang perjalanan anda akan menemui laluan sempit. Malah kenderaan besar
seperti lori dan bas umpama ‘raja jalan’.
Bagaikan gugur jantung
dibuatnya menyaksikan gelagat mereka. Namun semuanya berubah sebaik tiba di
Danau Toba.
Keindahan Danau Toba
sememangnya memukau. Luasnya tiga kali lebih besar daripada Singapura. Tasiknya
sedalam 450 meter menjadi tasik ketiga terbesar di dunia, sekali gus menggamit
memori sesiapa saja yang berkesempatan mengunjunginya.
Terbentuk hasil ledakan
gunung berapi 75,000 tahun yang lalu dengan keluasan 100km panjang dan 30km
lebar, ia dikelilingi batu berbentuk pulau dikenali Pulau Samosir, peninggalan
daripada letusan gunung yang kini didiami kebanyakan masyarakat berketurunan
Batak.
Antara penempatan yang
sering dilawati adalah Tomok, perkampungan suku kaum Batak Toba.
Di Pulau Samosir, mesti
sempat ke Ambarita yang menjadi tumpuan pelancong kerana kesan sejarahnya
menarik.
Masih wujud peninggalan
istana raja Batak di Huta Siallagan, selain tempat pesalah dihukum pancung
serta kerusi dan meja batu untuk bermesyuarat dinamakan Batu Persidangan.
kembali ke Parapat untuk
meneruskan perjalanan ke Brastagi iaitu satu lagi kawasan tarikan pelancong
yang agak terkenal di utara Sumatera kerana suhu udara yang sejuk seperti di
Cameron Highlands.
Gunung berapi yang masih
aktif iaitu Gunung Sibayak dan Gunung Sinabung menghiasi pemandangan ke
Brastagi.
Dalam perjalanan balik, dibawa
menggunakan laluan lain untuk ke Brastagi yang kebiasaannya dilalui pelancong
saja.
Sepanjang perjalanan,
mata dihidangkan dengan pemandangan menakjubkan sebelum singgah di Tanjung Unta
yang menjadi kemestian buat pelancong merakam pemandangan menakjubkan Danau
Toba.
gambar
Boleh dikatakan sejumlah
besar orang Batak, baik Batak Toba atau Batak Karo menganut Kristian.
Oleh itu, sepanjang
perjalanan dari Perapat ke Brastagi, kelihatan banyak gereja selain deretan
kedai makan yang menghidangkan babi panggang dan anjing di tepi jalan.
Selain itu, kelawar atau
kalong (sebutan rakyat tempatan) turut dijual di tepi jalan yang menurut pemandu,
ia bukan saja dijadikan hidangan harian, malah dikatakan baik untuk
menyembuhkan penyakit lelah.
Jujurnya semua bahan
disajikan itu mungkin tidak sesuai kepada penulis, tetapi sekurang-kurangnya
dapat mengetahui sedikit sebanyak budaya masyarakat setempat.
Tidak lengkap rasanya
jika tidak singgah di air terjun Si Piso Piso yang terletak berhampiran Desa
Tongging.
Pemandangan Si Piso Piso
berketinggian kira-kira 120 meter juga menjadi satu tarikan. Air terjun ini
agak unik kerana aliran air kelihatan seperti keluar dari celah bukit, tapi
sebenarnya terbentuk daripada sungai bawah tanah yang mengalir melalui sebuah
gua di sisi kawah Danau Toba.
Air terjun Si Piso Piso
ini boleh dilihat dari jarak dekat, namun memerlukan stamina yang tinggi kerana
perlu melalui ratusan anak tangga untuk sampai ke dasar sungai.
Di Berastagi kesejukan
mencengkam tulang, apatah lagi hujan lebat pada sebelah malam.
Difahamkan hampir semua
hotel di Brastagi tidak dilengkapi penghawa dingin kerana suhu semula jadi yang
sedia ada sejuk dan nyaman.
Hari ketiga lawatan, meneruskan
perjalanan ke Medan yang mengambil masa dua jam dari Brastagi, walaupun jarak
antara kedua-dua bandar ini kurang 70km. Ini kerana keadaan jalannya yang
sesak.
Di Medan, antara tempat
menarik yang boleh dilawati adalah Pajak Ikan iaitu kawasan deretan kedai yang
menjual pelbagai barangan seperti pakaian, tudung, telekung serta kain pasang.
tidak lama di sana kerana
keadaannya yang sesak serta panas menimbulkan rasa tidak selesa untuk membeli-belah.
Selain itu, sebuah istana
lama kepunyaan Sultan Deli tersergam indah. Ia dinamakan Istana Maimoon dan
inilah satu-satunya peninggalan Kesultanan Deli yang memerintah pada 1888.
cover by trvlblog
Tidak ada komentar:
Posting Komentar